Tuesday, 31 March 2015

Pendidikan di Malaysia pada asasnya dapat dibahagikan kepada dua zaman iaitu zaman sebelum merdeka dan zaman selepas merdeka. Maka itu, perkembangan kurikulum sejarah di Tanah Melayu juga mengikut perubahan zaman tersebut. Sememangnya sejak zaman sebelum merdeka lagi mata pelajaran sejarah merupakan mata pelajaran yang dianggap penting dan perlu diajar di sekolah. Secara amnya perkataan sejarah itu sendiri membawa maksud peristiwa yang benar-benar berlaku pada waktu lampau. Apabila menyebut peristiwa, kebiasaannya yang dirakamkan ialah tentang peristiwa yang melibatkan jatuh bangun sesebuah negara  atau bangsa. Oleh yang demikian, melalui sejarah sesebuah kerajaan boleh mengagungkan zaman-zaman kegemilangannya pada masa lampau yang seterusnya dapat membentuk perasaan bangga di kalangan rakyatnya.
            Pendidikan sejarah di zaman British iaitu zaman sebelum merdeka diperkenalkan bertujuan untuk memenuhi kepentingan dan matlamat kolonialisme British di Tanah Melayu. Di mana, kandungan kurikulum pendidikan sejarah pada ketika itu adalah lebih menjurus kepada negara kolonial British atau bersifat western centric. Topic-topik yang diperkenalkan dalam pendidikan sejarah pada ketika itu adalah berkaitan dengan sejarah-sejarah Eropah. Hal ini berlaku kerana, kerajaan British yang memerintah Tanah Melayu pada ketika itu mahu penduduk Tanah Melayu mengagungkan kegemilangan British. Maka itu, semangat patriotisme atau semangat cintakan tanah air sendiri tidak dapat diwujudkan dalam diri rakyat Tanah Melayu pada ketika itu. oleh yang demikian, dapat dilihat bahawa sebelum perang dunia kedua penentangan terhadap kuasa kolonial British adalah kurang, ini menunjukkan bahawa kurangnya kesedaran di kalangan penduduk Tanah Melayu untuk membebaskan tanah air mereka dari belenggu penjajahan.
            Seterusnya, pada peringkat awal pendidikan sejarah diperkenalkan di sekolah-sekolah aliran Melayu adalah lebih bersifat kesusasteraan Melayu Klasik. Di mana, pendidikan sejarah tempatan tidak ditekankan oleh British kerana bimbang akan menggugat kepentingan politik dan ekonominya. Pengaruh kurikulum British dalam pendidikan sejarah semakin berkurangan hanya selepas negara telah mencapai kemerdekaan. Manakala kurikulum sejarah bagi sekolah vernakular Cina dan India yang pada asalnya lebih menjurus kepada sejarah negara asal tamat apabila Laporan Razak dikemukakan pada tahun 1956. Hal ini dilakukan sebagai persediaan kepada negara yang akan mencapai kemerdekaan dan bagi memastikan sukatan pengajaran dan peperiksaan yang sama dilaksanakan demi perpaduan kaum di negara ini.
            Perkembangan terhadap kurikulum pendidikan sejarah terus berlaku selepas negara mencapai kemerdekaan, di mana kesedaran mengenai perpaduan dan integrasi kaum mulai berlaku. Pada tahun 1973, terdapat perbincangan untuk mengkaji semula kurikulum sejarah . Hal ini kerana, timbul kesedaran mengenai kandungan kurikulum sedia ada yang tidak bersifat tempatan tetapi masih lagi bersifat western centric. Maka itu beberapa forum telah diadakan bagi membincangkan perkara tersebut dan hasil dapatan daripada perbincangan yang dilakukan Kementerian Pelajaran Malaysia telah digesa untuk menggunakan pendekatan yang lebih berpusatkan ke-Malaysia dalam menggubal sukatan pelajaran dan penulisan buku teks sejarah. Keadaan ini memperlihatkan bahawa setelah negara mencapai kemerdekaan kesedaran mengenai perlunya menggubal kurikulum yang lebih bersifat kepada kenegaraan Malaysia semakin meningkat.
            Pada tahun 1989, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menjadikan mata pelajaran sejarah sebagai mata pelajaran teras dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM), di mana murid di semua sekolah kerajaan wajib mempelajari mata pelajaran sejarah secara berterusan selama lima tahun iaitu bermula dari Tingkatan 1 sehinggalah ke Tingkatan 5. Usaha murni kerajaan ini adalah bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan sejarah negara di kalangan pelajar sekolah di samping memupuk nilai patriotisme. Di mana, kandungan Kurikulum Sejarah KBSM disusun secara bersepadu merangkumi unsur-unsur ilmu, kemahiran dan penerapan nilai patriotisme selari dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Negara dan matlamat pendidikan iaitu ke arah membangunkan individu yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek. Dengan adanya pengetahuan sejarah negara serta nilai patriotisme dalam diri setiap rakyat Malaysia, maka ia sudah tentunya akan dapat membentuk keperibadian yang tinggi serta menyemarakkan lagi semangat cintakan negara.  
            Perkembangan terhadap kurikulum sejarah yang terbaru pada masa kini ialah pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sedang melakukan transformasi kurikulum sejarah yang akan dilaksanakan pada tahun 2014 dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bagi sekolah rendah dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) bagi sekolah menengah mulai 2017. Dalam KSSR mata pelajaran sejarah akan diajar sebagai mata pelajaran teras untuk murid Tahap 2 iaitu bermula dari Tahun 4 hingga Tahun 6. Mata pelajaran sejarah diperkenalkan di peringkat rendah dengan hasrat memberikan penekanan kepada pembangunan sahsiah murid di samping pemupukan nilai-nilai keperibadian mulia dan semangat kewarganegaraan. Manakala bagi kurikulum sejarah dalam KSSM lebih menitikberatkan kepada pengetahuan dan pemahaman Sejarah Malaysia, Pembinaan Negara Bangsa dan Sejarah Negara Luar. Dengan itu, pelajar di peringkat sekolah menengah  akan mempunyai perspektif yang lebih luas mengenai proses perkembangan masyarakat dan negara serta melihat secara perbandingan akan sejarah dalam dan luar negara. Hal ini sudah tentunya akan dapat memupuk rasa bangga tentang warisan dan kejayaan negara ke arah pemantapan semangat perpaduan dan patriotism.

            Justeru itu, pendidikan sejarah sememangnya merupakan subjek yang amat penting dan kini ia telah mata pelajaran teras yang wajib untuk dipelajari oleh setiap murid. Hal ini kerana, mata pelajaran sejarah merupakan antara saluran yang paling berkesan untuk meningkatkan perpaduan kaum, semangat cintakan negara serta menerapkan nilai-nilai murni terutamanya di kalangan generasi muda pada masa kini.

No comments:

Post a Comment